TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tujuh lagi kluster baharu membabitkan empat di tempat kerja dan tiga dalam komuniti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sungai Kluang Satu membabitkan kluster tempat kerja di daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

Menurutnya, kes ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 4 April hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang yang terletak di Hilir Sungai Kluang 1, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Barat Daya yang mana 79 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Jalan Ismail Sultan juga kluster tempat kerja membabitkan daerah Johor Bahru di Johor yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-342,354) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, Johor Bahru dan 36 kes dikesan setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Batu Lima Jalan Sibuga juga kluster tempat kerja membabitkan daerah Sandakan, Sabah dan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-344,746) dilaporkan positif Covid-19 pada 31 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan pelajar dan kakitangan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Batu 5, Jalan Sibuga, Sandakan dan lapan kes dikesan setakat ini.

"Kluster Taman Bukit Pantai juga kluster tempat kerja membabitkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan daerah Petaling di Selangor yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-353,602) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 April lalu hasil saringan individu bergejala," katanya.

Beliau berkata, kluster ini membabitkan pelajar di sebuah pusat pendidikan yang terletak di Taman Bukit Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 20 kes sudah dikesan.

"Kluster dalam komuniti pula adalah Kluster Sungai Gemuan membabitkan daerah Meradong di Sarawak dan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-341,572) dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan sebuah komuniti di Sungai Gemuan, Meradong dengan 39 kes positif Covid-19 sudah dikesan," katanya.

Beliau berkata, Kluster Disso juga kluster komuniti membabitkan daerah Saratok di Sarawak yang mana kes indeks (iaitu kes ke-345,065) dilaporkan positif Covid-19 pada 31 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Jalan Disso, Saratok dengan 24 dikesan positif setakat ini.

"Kluster Sim-Sim juga kluster komuniti membabitkan daerah Sandakan di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-351,343) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 April lalu hasil saringan individu bergejala," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ini ini membabitkan sebuah komuniti di Jalan Buli Sim Sim, Sandakan yang mana 15 kes dikesan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:33 PM