GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan akan menyambung keterangannya dalam perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi berkata, pada tarikh itu, pembelaan dijangka melakukan pemeriksaan semula ke atas Dr Rohayu, yang juga saksi pembelaan ke-19.

"Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 29 hingga 31 Mac ini untuk menyambung perbicaraan kes itu," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh mangsa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka bersama-sama 12 lagi individu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan turut diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi pada 21 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 5:37 PM