BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 9.30 pagi ini oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Ismail Sabri yang tiba pada 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi berkenaan, termasuk saringan gejala, suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut menerima suntikan vaksin terbabit hari ini.

ISMAIL Sabri menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Ihsan FB Kementerian Pertahanan.
ISMAIL Sabri menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Ihsan FB Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 10:26 AM