RANGKA mayat ditemui di kawasan semak di Jalan Kerayong semalam. FOTO Ihsan Polis
RANGKA mayat ditemui di kawasan semak di Jalan Kerayong semalam. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Rangka manusia dengan tengkorak yang terpisah ditemui di kawasan semak di Jalan Kerayong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, rangka terbabit ditemui seorang lelaki pada 12.30 tengahari.

"Polis pergi ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu dan mendapati rangka dalam keadaan reput dan tengkorak kepala terpisah dengan jarak lebih kurang tiga kaki.

"Turut ditemui ialah baju yang dipercayai milik mangsa jenama 'Seven Saints' berwarna merah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar berkata, hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pengawal keselamatan.

"Pihak Forensik, Unit unit anjing pengesan (K9) dan ahli patologi dari Hospital Kuala Lumpur turut hadir di lokasi kejadian.

"Orang awam yang mempunyai rekod saudara mara hilang dinasihatkan untuk membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat. Kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:51 PM