DUA wanita warga Columbia ditahan polis selepas mencuri wang RM120,000.
DUA wanita warga Columbia ditahan polis selepas mencuri wang RM120,000.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan dua warga Columbia yang dipercayai mencuri wang tunai RM120,000 milik seorang ahli perniagaan pada 20 November lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa mengeluarkan wang dari sebuah bank di Jalan Klang Lama.

"Namun setibanya di Lebuhraya Persekutuan tayar kereta dinaiki mangsa dan anaknya pancit.

"Mangsa bersama anaknya keluar untuk menggantikan tayar dan selepas selesai dia mendapati beg yang mengandungi wang berkenaan hilang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pantai.

"Berpandukan laporan yang dibut mangsa, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields mengesan suspek semalam di Bangsar.

"Pada jam 4 petang polis mengekori sebuah kereta Honda City dari Jalan Ara menuju ke Jalan Telawi sebelum menahan dua suspek," katanya.

Menurutnya, suspek wanita berusia 55 dan 70 tahun bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika ditahan.

"Siasatan mendapati kedua-dua wanita berkenaan juga dipercayai terbabit dalam tiga kes mencuri wang dari kenderaan selepas mangsa mengeluarkan wang di bank.

"Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 3:40 PM