FOTO hiasan
FOTO hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan dilaksanakan pada 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan seramai 401,105 calon sudah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2020 di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

"Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan sudah dilantik.

"Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan dan arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

"Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Menurut kenyatan itu, calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0.

"Selain itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 8:50 PM