CALON SPM 2020 di sekolah sekitar Putrajaya bergerak menuju ke dewan peperiksaan. FOTO BERNAMA
CALON SPM 2020 di sekolah sekitar Putrajaya bergerak menuju ke dewan peperiksaan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pastinya diingati dalam lembaran sejarah negara apabila menjadi dalam kalangan 401,105 insan 'istimewa' yang menduduki peperiksaan berkenaan dalam norma baharu ketika negara masih 'berperang' dengan Covid-19.

Dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat, calon memulakan hari pertama peperiksaan dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2 petang ini dengan seramai 48,014 pengawas peperiksaan yang akan memastikan pematuhan sepenuhnya SOP.

Calon SPM serta pelajar yang mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menduduki peperiksaan tersebut di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara yang telah dinyahkuman, selain kesemua mereka perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan lengkap sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Calon SPM pada hari ini juga adalah kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan di sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu itu mula tiba di pekarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan selain memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Di SELANGOR, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMK) Yoke Kuan, Sekinchan dan berpuas hati terhadap pematuhan SOP di sekolah berkenaan.

Katanya, bagi peperiksaan SPM kali ini, sekolah turut menyediakan bilik persediaan, bilik isolasi dan bilik kuarantin bagi kemudahan setiap pelajar yang mengambil SPM.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 16,554 pelajar di 151 pusat peperiksaan di seluruh negeri menduduki peperiksaan dan menerusi tinjauan di SMK Senawang, pasangan kembar Suhaila Md Zahar dan Suhaili Md Zahar, 17, antara yang mencuri tumpuan menyatakan biarpun gementar, ia tidak mematahkan semangat untuk mencapai cita-cita menjadi antara pelajar cemerlang.

Di MELAKA, 13,464 calon menduduki SPM di 102 pusat peperiksaan di negeri berkenaan.

DI JOHOR BAHRU, 175 pelajar SMK Perempuan Sultan Ibrahim merupakan antara 49,472 pelajar di seluruh Johor yang menduduki peperiksaan SPM di 366 pusat peperiksaan.

Menerusi pemantauan oleh Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (KPIKS) Johor Datuk Yahya Jaafar di sekolah berkenaan, beliau yakin peperiksaan akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana persediaan rapi telah dibuat.

Di GEORGE TOWN, 19,919 pelajar termasuk calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 151 pusat peperiksaan di Pulau Pinang manakala di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani berkata seramai 18,743 calon menduduki SPM di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan jumlah pengawas peperiksaan pula ialah 1,427 orang.

Di PERAK, 33,075 calon menduduki peperiksaan di 327 pusat peperiksaan. Menerusi tinjauan di SMK Anderson, Ipoh, pelajar yang kebanyakannya dihantar ibu bapa masing-masing kelihatan bersemangat memasuki kawasan sekolah.

Perubahan kaedah persekolahan ketika suasana pandemik Covid-19 di negara ini tidak menjejaskan semangat 27,719 calon untuk menduduki peperiksaan di 285 pusat peperiksaan di seluruh KELANTAN apabila rata-rata calon bersemangat ke sekolah sambil mematuhi SOP.

Di PAHANG pula peperiksaan SPM 2020 membabitkan 20,765 calon termasuk 672 calon persendirian di 226 pusat peperiksaan seluruh negeri sementara di KEDAH, peperiksaan SPM berjalan lancar dan seramai 29,936 pelajar mula mengambil peperiksaan itu di 263 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Di PERLIS, Exco Pendidikan Negeri Rozieana Ahmad berharap 3,974 calon di negeri itu terus bersemangat menduduki peperiksaan dan mematuhi SOP ditetapkan.

Di PUTRAJAYA, seramai 1,616 calon SPM 2020 dan 110 calon SPM persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 sekolah di sekitar Putrajaya dengan tinjauan mendapati anggota polis dan guru memantau kehadiran pelajar di pintu masuk sekolah bagi memastikan pematuhan terhadap SOP.

Dalam pada itu, di LABUAN 1,227 pelajar termasuk 140 calon persendirian mula menduduki peperiksaan itu di 14 pusat peperiksaan, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 12:28 PM