FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Kesihatan Negeri akan mengumumkan klinik kesihatan yang menjadi pusat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan apabila tiba masanya bagi memudahkan orang ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada setiap Pengarah Kesihatan Negeri.

Menurutnya, bukan semua klinik kesihatan di negeri akan digerakkan untuk tujuan itu sebaliknya hanya kira-kira 600 saja yang dikenal pasti.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka lebih banyak pusat vaksinasi di masa depan bagi memudahkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya pada Sesi Libat Urus Media Darurat Covid-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan, yang diadakan secara maya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan menggerakkan unit bergerak sedia ada bagi membolehkan program imunisasi dilaksanakan dalam kalangan golongan rentan termasuk masyarakat Orang Asli serta pesakit yang terlantar di rumah.

"Unit bergerak itu akan digerakkan melalui Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan.

"Mana-mana pihak yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke klinik kesihatan untuk mendapatkan vaksin perlu memaklumkan kepada KKM supaya unit bergerak itu dapat dikerahkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:52 PM