Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Laporan pertama ujian klinikal fasa ketiga vaksin Covid-19 dijangka akan diperoleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini masih perlu menunggu kajian yang dibuat oleh 12 syarikat vaksin untuk mendapat keputusan ujian klinikal fasa ketiga itu.

"Kita dimaklumkan mungkin minggu depan akan memperoleh laporan pertama itu namun setakat ini belum ada lagi dan masih masih menunggu.

"Sementara itu vaksin terbabit perlu didaftarkan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, ini yang dikatakan sebagai kajian dan jika laporan itu nanti berkesan dan kurang kesan sampingan barulah dapat didaftarkan kualitinya.

"Pembelian vaksin ini akan mengikut lima garis panduan dimaklumkan sebelum ini.

"Sekiranya tiada kelulusan dan lesen diberikan kepada vaksin itu, ia tidak boleh dijual sama seperti ubat lain. Malah perjanjian kita dengan syarikat terbabit juga akan terbatal," katanya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan KKM menerusi NPRA akan memastikan vaksin Covid-19 yang lulus didaftar dan dipasarkan di Malaysia adalah selamat, berkualiti serta mempunyai keberkesanan optimum mengikut keperluan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia sudah memeterai dua perjanjian yang memberi jaminan untuk negara mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 30 peratus rakyat.

Ia termasuk perjanjian dengan Pfizer Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 24 November lalu membabitkan bekalan 12.8 juta dos vaksin untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan, syarikat itu bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan FDA dan NPRA sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan di Malaysia.

GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 7:45 PM