FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Hanya kerajaan sahaja yang dibenarkan mengendalikan vaksin Covid-19 yang diberi secara percuma bagi mengelak ia dijual secara komersial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan juga menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertujuan mengelak vaksin dijual secara komersial.

Menurutnya, jika ada pihak swasta yang menjual vaksin Covid-19 ia perlu diselidik dahulu kerana dibimbangi hanya memberi 'normal saline'.

"Lagipun pemberian vaksin ini adalah percuma jadi tidak ada isu ada pihak yang ingin menjualnya tetapi apa yang pihak swasta boleh lakukan membantu kerajaan dalam pemberian vaksin tanpa bayaran.

"Bagaimanapun jika ada penjualan vaksin boleh laporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak penjualan di pasaran gelap," katanya pada Sesi Libat Urus Media Darurat Covid-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan, yang diadakan secara maya hari ini.

Turut menjadi ahli panel bagi libat urus kali ini ialah Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr P Kalaiarasu; Ketua Sektor (Pakar Perubatan Kesihatan Awam), Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Mohd Hanif Zailani manakala Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memberi sasaran untuk mencapai 80 peratus penduduk di negara ini menerima vaksin Covid-19.

"Walaupun pengambilan vaksin Covid-19 tidak diwajibkan namun melalui tinjauan dijalankan setakat ini sudah lebih 70 peratus orang bersetuju untuk disuntik vaksin.

"Kita juga akan memberi tumpuan kepada golongan atas pagar membabitkan 15 peratus untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju menerima suntikan vaksin," katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan supaya tidak memfokuskan kepada golongan anti vaksin sebaliknya meyakinkan golongan atas pagar untuk bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:46 PM