Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa semalam berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia susulan gambar Annuar bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan dan tular di media sosial di Desa Petaling.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya juga sedang meneliti fakta dan bukti sedia ada sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Polis rakam percakapan Annuar lebih dua jam semalam. Pihak lain yang mempunyai kaitan dengan majlis jamuan itu pun sudah direkod keterangan.

"Jadi persoalan Annuar dikompaun RM1,000 itu belum lagi kerana siasatan masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) kerana melanggar SOP PKP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Hari Bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly (berdiri kanan) meninjau kaunter pendaftaran sistem ePesara ketika hadir ke Majlis Hari bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly (berdiri kanan) meninjau kaunter pendaftaran sistem ePesara ketika hadir ke Majlis Hari bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Ahad lalu, Saiful Azly dipetik berkata pihaknya memulakan siasatan berhubung tindakan Annuar yang didakwa melanggar SOP PKP susulan gambarnya bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan tular di laman sosial.

Gambar bertarikh 13 Februari itu dipercayai diambil ketika Annuar menghadiri majlis Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan di Kebun Komuniti Bandar, Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Desa Petaling di sini.

Annuar turut berkongsi gambar kebun itu, dengan turut kelihatan sebuah bangsal yang dikatakan tempat beliau berteduh pada majlis itu.

Mengenai PKP di Kuala Lumpur dilanjutkan hingga 4 Mac ini, Saiful berkata, pihaknya akan terus menguat kuasa SOP pematuhan dengan tegas membabitkan 22 sekatan jalan raya, 93 pasukan pematuhan dan kira-kira 2,500 anggota serta pegawai.

"Kita juga ada Unit Ronda Bermotosikal (URB)dan kereta peronda polis (MPV) untuk memantau SOP pematuhan di ibu negara serta membuat pengumuman bagi menasihatkan orang awam untuk patuh SOP.

"Bagi sekolah yang beroperasi, ada anggota dan pegawai memantau keadaan pematuhan di sana," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 1:04 PM