Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan itu diserahkan kepada Bukit Aman, hari ini.

"Siasatan sudah lengkap dan kami dah hantar ke Bukit Aman untuk arahan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Selasa lalu, polis mengambil keterangan Annuar berhubung dakwaan melanggar SOP PKP.

Ia susulan gambar Annuar bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan di Desa Petaling yang tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

SAIFUL Azly pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SAIFUL Azly pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, ditanya mengenai anggota polis yang disyaki terbabit dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Duta, Saiful berkata, proses siasatan selesai.

Katanya, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Bukit Aman, pada minggu ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang anggota polis yang disyaki terbabit dengan dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Duta di sini, dikeluarkan daripada penugasan SJR.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:24 PM