Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis memohon kerjasama orang ramai termasuk klinik swasta untuk mengesan ibu bayi perempuan yang ditinggalkan di atas bangku tokong di Kampung Hilir Kubang Rotan, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan individu yang terbabit dalam insiden berkenaan.

"Bayi perempuan itu di bawah jagaan pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan kesihatan.

"Bagaimanapun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak dapat dilakukan selagi ibu kandung bayi perempuan itu tidak ditemui," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Sarah Abdul Rahim di talian 019-7118587 atau 04-7747222 untuk membantu siasatan.

Portal Harian Metro semalam melaporkan seorang bayi perempuan seberat 2.82 kilogram ditemui seorang lelaki ketika sedang berjoging di atas bangku tokong berkenaan pada 4.35 petang.

Difahamkan, bayi perempuan yang ditemui berbalut kain batik dalam beg galas itu dipercayai baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada badan selain tali pusat belum dipotong.

ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir meminta orang ramai tampil memberi maklumat berhubung kes bayi ditinggalkan di sebuah tokong di Kampung Hilir Kubang Rotan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir meminta orang ramai tampil memberi maklumat berhubung kes bayi ditinggalkan di sebuah tokong di Kampung Hilir Kubang Rotan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Berita berkaitan

  • 'Kami mula rindukan Maryam'
  • Bayi perempuan ditinggalkan di tokong [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 8:06 PM