Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Papan tanda dan pagar di pintu masuk kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini, disimbah cat merah dan biru hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan menemui empat plastik cat iaitu dua daripadanya berwarna merah dan dua lagi plastik biru berhampiran pokok di kawasan kejadian yang dipercayai ditinggalkan pelaku terbabit.

"Kejadian disedari pengawal di situ pada 9.55 pagi tadi sebelum dimaklumkan kepada polis.

"Kawasan ini tidak mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV), namun kita akan mencari bantuan CCTV berhampiran seperti di lampu isyarat Pantai Johor untuk mencari bukti bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya percaya berkemungkinan kejadian itu berlaku sekitar awal pagi hari ini.

Beliau berkata, tiada kerosakan berlaku di tempat kejadian cuma hanya simbahan cat di lokasi yang boleh dicuci semula.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Ahmad Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan siasatan di tempat kejadian.

Difahamkan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

AHMAD Shukri (kiri) meninjau papan tanda dan pagar kediaman Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon yang disimbah cat merah dan biru. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AHMAD Shukri (kiri) meninjau papan tanda dan pagar kediaman Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon yang disimbah cat merah dan biru. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 2:28 PM