Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: Usianya baru mencecah setahun 10 bulan namun sudah hilang penglihatan selepas bebola mata kirinya terpaksa dibuang menerusi pembedahan akibat kanser yang dihidapi sejak berusia setahun.

Begitu yang dialami seorang bayi perempuan, Qaseh Nurfaira Qaleesya Mohd Fitri yang kini hanya bergantung pada mata kanan untuk melihat.

Menurut ibunya, Puteri Nor Qhairiyatul Afiqah Norazizun, 23, dia hanya menyedari anaknya menghidap kanser selepas membuat pemeriksaan kali kedua di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Februari lalu.

Katanya, ia bermula apabila anak tunggalnya itu tidak nampak dan berjalan sambil meraba objek di hadapan menyebabkan dia tidak sedap hati.

"Ketika itu, bebola mata tengah mata kiri anak saya tiada dan matanya juga nampak bercahaya.

"Saya risau melihat keadaannya dan terus membawa anak saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"Namun ketika melakukan ujian imbasan di HSB, doktor tidak dapat mengesan penyakitnya sebelum kes anak saya dirujuk ke HKL dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser mata tahap empat selepas menjalani ujian imbasan kali kedua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Rotan, di sini hari ini.

Puteri Nor Qhairiyatul Afiqah berkata, kanser yang dihidapi anaknya itu menyebabkan dia mengalami tekanan selain buntu untuk mencari sumber kewangan bagi membiayai rawatan lanjut anaknya di HKL.

Katanya, mereka akan ke sana semula pada 17 Mac ini untuk rawatan susulan dan keadaan ini memaksa dia dan suaminya, Mohamad Fitri Yaji, 27, untuk mencari sumber kewangan.

"Suami hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu dan kami tidak dapat menyimpan wang kerana kalau ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya RM500 perlu ada dalam tangan.

"Itu pun bergantung pada doktor, kalau keadaan anak baik, mungkin mereka akan lakukan rawatan kemoterapi," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi 016-3850043 (Puteri Nor Qhairiyatul) atau melalui akaun Agrobank 2-00-5071-00012262-9 (Mohamad Fitri).

Sementara itu, Pakar Obstetrik & Ginekologi KPJ University College dan KPJ Damansara Specialist Hospital, Professor Dr Imelda Balchin bersama Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut menziarahi bayi perempuan berkenaan hari ini.

Dr Imelda turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Puteri Nor Qhairiyatul Afiqah untuk kegunaan anaknya manakala CSM pula menghulurkan barangan keperluan harian untuk pesakit.

Puteri Nor Qhairiyatul bersama anaknya. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Puteri Nor Qhairiyatul bersama anaknya. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:55 AM