Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mengeluarkan kompaun kepada 41 individu kerana berkumpul dan melakukan aksi berbahaya dengan menunggang motosikal di Jalan Kampung Padang Garam, Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Mereka yang berusia antara 14 hingga 21 tahun dikompaun dalam Ops Lejang yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Tujuh daripada mereka dikompaun RM5,000 kerana merentas daerah tanpa alasan munasabah dan sanggup datang dari Pendang, Sungai Petani, Yan, Guar Chempedak dan Kubang Pasu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, 34 remaja lain dikompaun RM1,500 kerana gagal memberi sebarang alasan munasabah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 11 daripadanya adalah remaja perempuan manakala selebihnya adalah lelaki.

"Mereka memberi pelbagai alasan namun kesemua alasan yang diberikan tidak diterima kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anggota dan pegawai kami memeriksa 31 motosikal yang ditunggang 31 individu dan 10 daripadanya adalah pembonceng," katanya ketika ditemui di lokasi operasi dilakukan hari ini.

ANTARA individu yang diperiksa polis di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA individu yang diperiksa polis di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Ahmad Shukri berkata, sebanyak 99 saman dikeluarkan dari 103 pelbagai kesalahan yang dilakukan mereka.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada motosikal yang disita dan kesemua mereka dibenarkan pulang selepas kompaun dikeluarkan.

Katanya, antara kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak mempunyai lesen dan nombor pendaftaran selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 (kerana berhimpun), Peraturan 4(1) PPDPPB 2021 (merentas daerah) dan Peraturan 16 PPDPPB 2021 (tidak memakai pelitup muka).

"Operasi yang diketuai Asisten Superintendan Meor Amir Meor Md Khalil itu bermula jam bermula jam 6 petang berakhir jam 9 malam yang membabitkan dua pegawai dan sembilan anggota serta dibantu 28 anggota polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:01 AM