Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Sayu hati sewaktu melihat keadaan bayi perempuan itu yang sedang menangis kelaparan namun saya hanya mampu menepuk badannya supaya berhenti menangis selain membersihkan badannya," kata Mat Zuki Deris, 59.

Mat Zuki adalah penduduk Kampung Kubang Panggas, di sini yang menemui bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan di atas jalan berhampiran tapak pembinaan jambatan di kampung berkenaan, hari ini.

Katanya, bayi itu ditemui lengkap berpakaian serta memakai sarung tangan selain memakai lampin pakai buang.

Menurutnya, bayi itu ditemui jam 7.30 pagi ketika dia pulang dari menghantar isterinya ke tempat kerja di pusat bandar.

"Biasanya saya guna jalan kampung yang biasa digunakan penduduk tetapi hari ini saya tergerak hati untuk melalui jalan yang ditutup untuk melihat projek jambatan yang belum siap ini.

"Namun tak sangka saya menemukan bayi itu yang dilapik dengan kain batik dan pelikat serta dibalut dengan kain lampin di atas jalan yang ditutup ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mat Zuki berkata, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Panggas sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah.

Menurutnya, mereka kemudian membawa bayi perempuan itu ke surau kampung itu yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan polis dan ambulans.

BAYI perempuan yang ditemukan di atas jalan berhampiran tapak pembinaan jambatan di Kampung Kubang Panggas. FOTO Ihsan Pembaca
BAYI perempuan yang ditemukan di atas jalan berhampiran tapak pembinaan jambatan di Kampung Kubang Panggas. FOTO Ihsan Pembaca

"Ada penduduk kampung yang beri bayi itu minum susu sebelum dia berhenti menangis mungkin sebab lapar.

"Saya rasa mungkin bayi itu ditinggalkan awal pagi tadi sama ada sebelum atau selepas Subuh selain terdapat kesan darah pada kain batik yang melapik badannya," katanya.

Mat Zuki berkata, dia agak marah dan sayu mengenangkan nasib bayi itu yang ditinggalkan berhampiran kawasan sawah dan jalan yang sunyi itu kerana bukan saja ia menjadi laluan anjing malah binatang lain seperti biawak dan ular.

"Masa bayi itu nak dibawa ke hospital, saya ambil gambar dia banyak-banyak sebab nak simpan sebab memang sayu la," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan penemuan bayi perempuan itu dan siasatan masih dijalankan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:25 PM