Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah heroin yang disembunyikan suspek dalam kotak berjaya dirampas polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah heroin yang disembunyikan suspek dalam kotak berjaya dirampas polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Kecekapan Black iaitu anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar tempat penyembunyian 126.4 gram (g) heroin milik seorang pengedar dadah di Kampung Kelibang di sini.

Dadah bernilai RM7,584 itu disembunyikan di bawah kotak di pondok berhampiran rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, terdahulu, pihaknya menyerbu rumah terbabit pada 5.30 petang semalam dan menahan suspek yang berusia 40 tahun.

"Ketika ditahan, suspek sudah menyembunyikan sejumlah heroin dan pemeriksaan pada badannya hanya menemui 10 pil Erimin 5 seberai 2.85g.

"Anjing pengesan berjaya menemukan dadah yang disembunyikan di bawah kotak di pondok berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman.

Shariman berkata, ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis Methaphetamine dan lelaki itu turut mempunyai dua rekod lampau berkait dadah.

"Dia direman tujuh hari berakhir Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sembilan individu dikompaun dan seorang warga asing ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi pemantauan pada 27 Januari hingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:26 PM