SEBAHAGIAN dadah yang dirampas daripada lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Taman Nilam, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
SEBAHAGIAN dadah yang dirampas daripada lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Taman Nilam, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan buruh lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas 1.5 kilogram syabu dan heroin dianggarkan bernilai lebih RM89,000, semalam.

Suspek berusia 25 tahun ditahan di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Nilam, di sini, pada 4 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, terdahulu polis mengesan suspek berdiri dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah bilik bahagian depan rumah.

"Pemeriksaan menemukan plastik hitam yang digunakan untuk menyembunyikan kesemua dadah syabu seberat 440.60 gram dan heroin seberat 1.07 kg di belakang pintu.

"Nilai rampasan dadah dianggarkan lebih RM89,000 dan dipercayai untuk kegunaan penagih tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Shariman berkata, ujian air kencing adalah negatif dadah, dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek yang juga penduduk tempatan kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 5:32 PM