ASISTEN Komisioner Shariman Ashari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian pelbagai barangan curi yang dirampas daripada lima ahli Geng Mimi Vape. FOTO Hamzah Osman
ASISTEN Komisioner Shariman Ashari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian pelbagai barangan curi yang dirampas daripada lima ahli Geng Mimi Vape. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menumpaskan Geng Mimi Vape yang aktif memecah masuk rumah dan rumah kedai susulan penahanan lima ahlinya pada Op Pintu, sekali gus menyelesaikan lapan kes di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kumpulan itu aktif sejak Jun lalu malah menjual barangan curi itu untuk membeli dadah.

"Terdahulu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan dua lelaki berusia 32 dan 39 tahun di Kampung Buluh Penyumpit pada jam 7 pagi, Rabu lalu.

"Hasil siasatan, kami menahan tiga lagi suspek berusia 25 hingga 35 tahun di kampung sama, jam 1.30 tengah hari, semalam," katanya pada sidang media di IPD Langkawi, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman.

Shariman berkata, kumpulan yang dianggotai penduduk tempatan itu diketuai seorang lelaki berusia 32 tahun yang mahir membaiki telefon bimbit dan rokok elektronik.

"Susulan penahanan suspek, kami merampas barangan seperti alat pertukangan, topi keledar, tong gas dan syabu seberat 11 geam.

"Ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif Methamphetamine," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kelima-lima suspek direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 7:34 PM