Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas
Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) hari ini menyatakan bantahan tegas atas penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku berjudul 'My Story: Justice in The Wilderness' yang menghina Pegawai Undang-Undang secara keseluruhan.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan bekas Peguam Negara itu yang menggelarkan Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran, adalah bersifat jahat malah menghina Pegawai Undang-Undang secara keseluruhannya.

"JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau itu. Pegawai Undang-Undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah peguam negara atau kerajaan yang memerintah.

"Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang Pegawai Undang-Undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai bekas Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, beliau tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat, apatah lagi menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan.

"Pegawai Undang-Undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

"Pandangannya amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa-apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum. Persepsi itu adalah ciptaannya sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

JALSOA berpendirian bahawa beliau sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 11:44 AM