DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Bernama
DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang serta mengelakkan berlaku percanggahan kepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara lain, namun dengan kesesuaian sistem perundangan Malaysia.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan seumpamanya.

"Kerajaan juga tiada halangan mempertimbangkan langkah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya ada keperluan berdasarkan fakta, undang-undang dan juga langkah-langkah pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti dan keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah," katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman dalam kenyataan melalui laman Facebooknya mencadangkan supaya ditubuhkan RCI pembaharuan Jabatan Peguam Negara, yang perlu membabitkan pakar-pakar perlembagaan.

Cadangan itu dikemukakan kerana beliau berpendapat perkembangan semasa menjejaskan kepercayaan masyarakat awam terhadap Jabatan Peguam Negara, dan jika tidak ditangani, secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada kebuntuan politik, di samping menghalang usaha kerajaan membina keyakinan serta sokongan orang ramai bagi melawan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 5:44 PM