RICHARD (tengah) bertemu media selepas mendengar keputusan mengenai enam tertuduh yang didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
RICHARD (tengah) bertemu media selepas mendengar keputusan mengenai enam tertuduh yang didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

SELEPAS hampir lima tahun penantian menyeksakan, keadilan akhirnya ditegakkan bagi keluarga mendiang Datuk Kevin Morais, apabila enam lelaki dituduh membunuh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Richard Morais, adik bongsu mendiang Kevin yang jelas amat sedih dengan kejadian menimpa abangnya itu, malah tidak dapat menyudahkan membaca Kenyataan Impak Mangsa berikutan tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir.

Richard menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menyaksikan pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan lima lagi lelaki dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin, yang mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 49; serta empat penganggur R Dinishwaran, 28; A K Thinesh Kumar, 27; M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.

Sambil menitiskan air mata, Richard semasa ditemui di luar mahkamah, berkata hukuman mati mandatori terhadap semua tertuduh memberi kelegaan kepadanya kerana mengetahui penjenayah terbabit mendapat balasan atas jenayah dilakukan mereka dan tidak akan dibenarkan kembali ke dalam masyarakat.

"Ini tidak akan mengubah hakikat kami kehilangan Kevin, seorang Timbalan Pendakwa Raya hebat dan berdedikasi, abang penyayang dan pengasih, kawan sentiasa memberi sokongan dan setia.

"Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mencadangkan agar mendiang Kevin diberikan gelaran Datuk daripada Almarhum Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah," katanya.

Dalam Kenyataan Impak Mangsa itu, Richard berkata, semasa beliau melihat mayat abangnya yang remuk dan reput, beliau terus hilang pertimbangan dan menjadi histeria.

"Saya katakan ini, tiada siapa harus melalui keadaan amat menyedihkan ini apabila melihat keadaan orang disayangi dalam keadaan seperti itu.

"Mayatnya hampir tidak dapat dicam. Saya terpaksa kembali semula untuk memberikan sampel darah saya untuk padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusannya positif," katanya.

Sementara itu, Datuk Abdul Razak Musa yang dilantik sebagai Peguam Cara Negara berkuat kuasa 14 Julai depan, yang menyertai perkhidmatan undang-undang bersama-sama dengan mendiang Kevin, berkata bagi pihak Persatuan Perkhidmatan Pegawai Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa), beliau berpuas hati dengan keputusan itu.

"Kami daripada kumpulan sama, kami berada di sini sebagai tanda sokongan dan kami bimbang dengan keselamatan pegawai undang-undang kami," katanya.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Kunaseegaran berkata mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

"Kami akan failkan rayuan. Ini hanya bahagian pertama daripada prosesnya. Kami hormati keputusan mahkamah," katanya semasa ditemui di luar mahkamah.

Ketika ditemui di luar mahkamah, TPR Saiful Edris Zainuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, selepas hampir lima tahun, akhirnya mereka berjaya menamatkan kes itu untuk episod pertama.

"Untuk hari ini, kita gembira dapat selesaikan kes ini, masih ada dua lagi pusingan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Marilah kita berdoa…kita di sini tidak akan pernah lupakan Datuk Kevin dan kita akan terus bersama (membela) dia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 10:40 PM