GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil tindakan perundangan untuk membatalkan waran tangkap dikeluarkan kepada bekas pegawainya berkaitan dakwaan kesatuan sekerja terhadap PetroDar Operating Company (PDOC) di Sudan yang syarikat minyak negara itu mempunyai kepentingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, peguam luar PDOC sedang dalam proses membatalkan waran tangkap itu.

Menurut satu laporan berita, kerajaan peralihan Sudan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus cawangan Petronas selain daripada pelabur asing lain dengan dakwaan terbabit dalam rasuah yang boleh menjejaskan hubungan dua hala di masa hadapan.

Petronas berkata, tindakan perundangan itu tidak berkaitan dengan prosiding undang-undang untuk menuntut kembali hak ke atas tanah dan Kompleks Petronas di Khartoum, yang ia telah memfailkan permohonan untuk timbang tara di Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID).

"Memandangkan proses perundangan sudah bermula, Petronas tidak boleh memberikan maklumat lanjut mengenai kedua-dua isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 5:57 PM