GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 98 pelatih di dua Pusat Latihan Polis (Pulapol) disahkan positif Covid-19.

Mereka yang positif ialah 78 pelatih kadet inspektor di Pulapol Kuala Lumpur dan 20 pelatih konstabel di Pulapol Segamat, Johor.

Turut disahkan positif ialah 20 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah yang beroperasi di Pulapol, 22 kakitangan serta 10 ahli keluarga mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan dan kawalan segera bagi mengawal penularan.

"Setakat ini, langkah dan tindakan dalaman untuk mengurangkan risiko jangkitan sedang diambil yang diketuai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Nerita Yaakob.

"Beliau turut dibantu oleh Komandan Pulapol, Datuk Shamsuddin Mat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hamid berkata, PDRM sentiasa berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesemua pesakit dikuarantin di asrama dan kediaman masing-masing bagi yang tidak bergejala manakala individu bergejala dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Pihak KKM juga berada di Pulapol bagi menjalankan penilaian risiko jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 2:42 PM