GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sebuah Kolej Vokasional di negeri ini diarahkan tutup lapan hari selepas merekodkan 76 kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sejak 14 Januari hingga Jumaat ini bagi mengawal penularan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kes indeks pertama dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan sebelum saringan kontak rapat dibuat sehingga Isnin (kelmarin).

Beliau berkata, saringan itu dilakukan membabitkan 176 individu dan hasilnya 76 didapati positif manakala 97 negatif.

"Daripada jumlah positif itu, 71 adalah pelajar lelaki manakala bakinya membabitkan pelajar perempuan manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

"Penularan kes disyaki berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas sebelum merebak kepada rakan lain," katanya.

Menurut beliau, berdasarkan penilaian risiko juga didapati ada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti bilik asrama dan 'gate keeping'.

"Meskipun ia masih dalam siasatan, kita tidak menolak kemungkinan pelajar mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di kolej.

"Arahan penutupan dibuat serta merta kerana jumlah yang tinggi selain turut diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelmarin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:37 AM