LORI tangki SAMB sedang diisi air di Paya Sum, Sungai Udang sebelum diagihkan kepada penduduk yang terjejas di tiga kampung di Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
LORI tangki SAMB sedang diisi air di Paya Sum, Sungai Udang sebelum diagihkan kepada penduduk yang terjejas di tiga kampung di Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Kira-kira 4,000 penduduk tiga kampung di Tanjung Kling, di sini, terpaksa bergantung air dari lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) apabila bekalan air terganggu sejak petang semalam.

Keseluruhan kira-kira 1,500 penduduk Kampung Bukit Darat dan sebahagian daripada penduduk Kampung Pengkalan Perigi serta Kampung Pantai Rombang di sini, mengalami gangguan bekalan air itu bermula jam 4 petang.

Sehingga jam 6 petang tadi, bekalan air masih belum pulih dan menyebabkan penduduk terpaksa mengambil air dari lori tangki yang digerakkan dari satu kampung ke kampung lain.

Penduduk Kampung Bukit Darat, Amieza Senin, 32, berkata, bekalan air terhenti mulai petang semalam menyebabkan dia terpaksa menggunakan air di tadah dalam tong.

"Bagaimanapun, hari ini (semalam) bekalan masih belum pulih dan saya terpaksa mengambil air dari lori tangki SAMB," katanya.

Penduduk, Maznah Ali, 58, berkata, walaupun lori tangki SAMB memberikan perkhidmatan kecemasan namun dia dan warga emas lain menghadapi masalah untuk mengangkat air dari tepi jalan ke kediaman masing-masing.

Sehubungan itu, dia terpaksa mengupah beberapa remaja membantu mengangkat air ke kediamannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan ketika dihubungi berkata, beliau difahamkan oleh Ketua Eksekutif (CEO) SAMB, Abdul Rashid Abdul Rahman, gangguan itu berpunca daripada paras air dalam Kolam Bukit Bakul Lama berhampiran Kampung Bukit Darat, terlalu rendah.

"Semalam air tidak dapat dipam ke kolam itu dan hari ini SAMB berusaha sedaya upaya menaikkan paras air dalam tangki itu.

"CEO SAMB berjanji akan melaksanakan pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan air di kawasan terjejas tidak lagi kerap berlaku seperti sekarang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Zaidi Attan ketika dihubungi berkata, beliau sudah meminta pegawai dan petugas SAMB berusaha mengatasi segera masalah berkenaan.

Katanya, beliau akan meneliti dakwaan penduduk, pam ke kolam berkenaan sudah uzur dan sering mengalami kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 7:21 PM