MOHD Yassin (kiri) dan Hamdan menunjukkan dua tangki dan tangki air utama SAMB yang didakwa tidak berfungsi di Taman Bidara Indah, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MOHD Yassin (kiri) dan Hamdan menunjukkan dua tangki dan tangki air utama SAMB yang didakwa tidak berfungsi di Taman Bidara Indah, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ibarat projek 'gajah putih' apabila dua tangki air disediakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Taman Bidara Indah, di sini, sejak dua tahun lalu masih gagal memberi manfaat kepada 500 penduduk di kawasan itu.

Penduduk mendakwa kedua-dua tangki itu tidak berfungsi sejak diletakkan di kawasan berkenaan pada hujung 2019 sekaligus menyebabkan mereka masih mengalami masalah gangguan bekalan air.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bidara Indah, Mohd Yassin Hussin, 51, mendakwa kedua-dua tangki itu diletakkan di kawasan berkenaan bagi menyokong pembekalan air tangki utama jika berlaku gangguan bekalan air.

"Bagaimanapun, ketika negeri ini mengalami catuan bekalan air selama dua bulan pada awal tahun lalu, tangki utama dan kedua-dua tangki sokongan tidak berfungsi dan menyebabkan taman ini tidak terkecuali daripada mengalami catuan," katanya tadi.

Sementara itu penolong setiausaha persatuan itu, Hamdan Nordin, 61, berkata, penduduk meminta SAMB memberi penjelasan mengenai kegagalan tangki berkenaan berfungsi.

"Kami sangkakan kedua-dua tangki itu mampu berfungsi sebagai sokongan tetapi tidak menjadi kenyataan dan kami hairan mengapa ia masih berada di kawasan itu," katanya.

Negeri ini mengalami catuan bekalan air dari 29 Januari hingga 30 Mac 2020 akibat kemerosotan paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, selain Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin berikutan kemarau.

Ketika air dicatu, bekalan air dihentikan selama 24 jam sebelum disambung semula selama 24 jam dan ia berlangsung sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif (CEO) SAMB, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, kontraktor dilantik SAMB meletakkan kedua-dua tangki berkenaan dan membina rumah pam pada Disember 2019.

Bagaimanapun, kerja pemasangan paip dari rumah pam ke tangki serta pendawaian elektrik masih belum dibuat, katanya.

"Memang ada air bersih disalurkan ke kedua-dua tangki itu dan SAMB sekarang membuat kerja penambahbaikan sistem bekalan air jika berlaku tekanan rendah di kawasan sekitar.

"Insya-Allah kerja itu akan siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penyempurnaan kerja berkenaan akan membolehkan penduduk menerima bekalan air walaupun berlaku gangguan bekalan di kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 4:28 PM