GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) berharap moratorium automatik dapat diberikan kepada industri yang terkesan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden merangkap Pengerusi, Biro Undang-Undang & ICT MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, MyBHA yang mewakili pengusaha hotel tiga bintang ke bawah melihat pengusaha perlu dibantu kerana kini berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan bagi kelangsungan industri.

"Kami juga berharap supaya pembayaran program subsidi upah (PSU) 2.0 dan 3.0 dipercepatkan kerana masih ramai ahli MyBHA belum menerimanya.

"Malah, kami meminta agar kerajaan memperkenalkan semula program subsidi upah yang baharu dengan mengambil kira kakitangan yang baru bekerja disebabkan kebanyakan hotel kini terpaksa mengambil pekerja baru untuk mengekalkan perniagaan masing-masing.

"Selain itu, kami memohon supaya syarikat utiliti seperti TNB, Telekom Malaysia, Astro dan pelbagai lagi untuk mempertimbangkan agar syarikat terkesan boleh membuat pembayaran ansurans bil mereka kerana ada ahli kami yang diambil tindakan pemotongan servis walaupun baru dua bulan tunggakan kerana tidak boleh beroperasi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, satu usaha perlu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri serta semua agensi kerajaan dan swasta yang boleh menyumbang bantuan kepada pengusaha industri perhotelan dan pelancongan.

"Sedikit sebanyak ia akan memberi impak yang lebih berkesan dalam usaha untuk memastikan pemain industri ini bertahan tanpa ada pembuangan pekerja atau penutupan perniagaan.

"Pihak kerajaan juga harus mengambil maklum bahawa pelanggan sebuah hotel terdiri daripada mereka yang datangnya dari luar daerah, negeri serta negara dan larangan merentas daerah dan negeri serta penutupan sempadan negara telah menyebabkan mana-mana hotel yang beroperasi tidak dapat pelanggan dan ianya secara langsung menyebabkan penurunan pendapatan dan menyumbang kepada pengurangan, dan pembuangan pekerja dan akhirnya penutupan operasi.

"Masih banyak perkara yang boleh diambil kira untuk mengurangkan beban kepada pengusaha industri perhotelan dan pelancongan tetapi kami melihat usaha itu masih gagal dilaksanakan.

"Dalam usaha untuk menyelamatkan industri kami merayu dan memohon supaya kerajaan Persekutuan bersama semua pihak bersikap lebih prihatin dengan mendengar rintihan dan keluhan pengusaha yang terbabit serta segera mengambil tindakan dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan mampu bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 1:36 PM