ORANG ramai tiba di Terminal Feri Kuala Kedah untuk ke Pulau Langkawi  selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Amran Hamid
ORANG ramai tiba di Terminal Feri Kuala Kedah untuk ke Pulau Langkawi selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Amran Hamid
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pemain industri pelancongan tempatan khuatir sambutan dingin daripada rakyat walaupun kebenaran rentas negeri dibenarkan kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, setakat ini jumlah tempahan yang diterima masih lagi perlahan.

Menurutnya, keadaan ini berkemungkinan orang ramai masih ragu-ragu untuk bercuti memandangkan kes Covid-19 masih tinggi.

"Tempahan bilik masih lagi perlahan tidak seperti sebelum ini dan keadaan ini membimbangkan pengusaha pelancongan.

"Lebih 2,300 ahli persatuan kini masih menaruh harapan momentum pelancongan domestik kembali rancak dengan kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ahli persatuan kini juga rancak mempromosikan penginapan dengan tawaran harga menarik untuk menarik minat pelancong tempatan.

Katanya, platform dalam talian selain kerjasama dengan Tourism Malaysia, kini digunakan lebih agresif bagi memudahkan masyarakat membuat tempahan.

"Kami beri jaminan ahli persatuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan selain memastikan kebersihan premis diberi keutamaan.

"Tidak dinafikan wujud kebimbangan dalam masyarakat mengenai tahap kebersihan dan keselamatan namun sudah pasti ia menjadi keutamaan ahli agar pelancong lebih yakin serta selesa," katanya.

Katanya, kerajaan diminta memastikan pelarasan SOP antara agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan agar tidak timbul kekeliruan.

Tambahnya, tempoh operasi premis seperti kedai makan yang tidak selaras menyebabkan pelancong khuatir ia akan mengganggu aktiviti percutian.

"Ada PBT yang tidak selaras sehingga timbul kekeliruan dan ini menyebabkan pelancong keliru seterusnya mengambil keputusan untuk tidak melancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 1:36 PM