FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pengenalan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac ini bukan penyumbang utama kenaikan harga bilik hotel.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, kenaikan harga bilik hotel dipengaruhi oleh peningkatan harga barang dan perkhidmatan semasa yang meningkatkan kos operasi hotel.

Ganesh berkata, langkah pengusaha hotel menaikkan harga bilik bukan disengajakan untuk mengaut untung atau mengambil kesempatan tetapi demi kelangsungan perniagaan yang berdepan cabaran ekonomi semasa.

"Isu sekarang, kenaikan (harga bilik hotel) bukan kerana SST saja tetapi disebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat naik.

"Syarikat penyelenggaraan penghawa dingin misalnya antara yang terkesan dengan kenaikan, jadi akan naikkan caj perkhidmatan mereka anggaran daripada RM80 ke RM150.

"Begitu juga dengan perkhidmatan cucian yang naikkan caj kerana kenaikan harga bahan pencuci.

"Akhirnya, hotel terpaksa naikkan harga bilik kerana adanya pertambahan kos operasi jadi kenaikan itu bukan disengajakan dan kita berharap orang ramai dapat memahaminya," katanya.

Ganesh yang juga Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pelancongan Malaysia (MTF) berkata, ada beberapa inisiatif boleh diperkenalkan kerajaan untuk membantu pengusaha hotel menurunkan kos operasi.

"Salah satunya adalah dengan memperkenalkan tarif khas bekalan elektrik untuk industri perhotelan.

"Pihak kita sudah meminta kerajaan menguatkuasakan Garis Panduan Penginapan Kediaman Jangka Masa Pendek (STRA) dalam memastikan kelangsungan industri perhotelan kerana jika diselesaikan segera, pendapatan hotel meningkat dan jika Agensi Pelancongan Dalam Talian dikawal selia, ianya dapat menurunkan kos operasi sebuah hotel.

"Di samping itu, kerajaan boleh naikkan juga nilai ambang cukai SST bagi membolehkan pengusaha hotel membantu rakyat dengan penjimatan itu.

"Sokongan kerajaan penting dalam mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh industri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik," katanya.

Sebelum ini kadar SST adalah pada enam peratus dan kadar baharu cukai itu akan meningkat kepada lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:30 AM