FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Pembukaan semula sektor pelancongan di negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar kepada industri hotel dan pelancongan untuk menghidupkan kembali sektor itu yang terjejas.

Presiden Persatuan Hotel Budget dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, ia adalah satu keputusan yang paling dinantikan oleh industri hotel dan pelancongan.

"Pengusaha hotel adalah antara perniagaan yang paling terjejas sejak bermula pandemik Covid-19 pada awal 2020.

"MyBHA menyambut baik kelonggaran yang diberikan kerajaan. Terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana prihatin terhadap nasib penggiat industri perhotelan yang terjejas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha ini dapat meningkatkan kembali semangat pengusaha hotel untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, sebelum ini sektor perhotelan negara meruncing berikutan sekurang-kurangnya 120 hotel terpaksa ditutup secara penuh atau sementara selepas mengalami kerugian besar ekoran sekatan rentas negara, negeri dan daerah.

Menurutnya, pada separuh tahun pertama tahun ini sahaja, kerugian sudah mencecah RM5 billion dan dijangka bakal meningkat lebih tinggi.

"Malah, ada berkemungkinan banyak lagi hotel yang bakal ditutup kerana Kuala Lumpur dan Selangor masih berada di Fasa Satu.

"Kita juga tidak tahu bila perkara ini akan berakhir kerana kita dapat lihat kes jangkitan yang semakin meningkat naik setiap hari," katanya.

Emmy Suraya berkata, pihaknya turut menekankan kepada ahli MyBHA supaya memastikan kesemua pekerja sudah lengkap dua dos vaksin dan melepasi tempoh yang dinyatakan.

"MyBHA berharap semua ahli dapat memastikan pengunjung dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan penularan wabak yang lebih teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 5:19 PM