Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Dua peniaga didakwa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas tiga pertuduhan menipu pelaburan Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500.

Tertuduh, Reduan Ismail, 38, dan Adan Ibrahim, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menipu tiga mangsa dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa pelaburan Bitcoin Actionnode dijanjikan pulangan 20 peratus selama tujuh bulan berturut-turut.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di Hotel Casuarina Meru pada 12 tengah hari, 26 Julai tahun lalu menipu Nur Raihan Shabila MÄ‘ Noor dan Rozidah Yahaya dengan mendorong untuk melaburkan wang berjumlah RM146,000.

Untuk pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama dengan menipu Normah Shaari untuk mendorongnya untuk melaburkan wang berjumlah RM4,500 pada 10 pagi, 8 Mei tahun lalu.

REDUAN dan Adan diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Ipoh didakwa atas tiga pertuduhan menipu pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500 tahun lalu. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
REDUAN dan Adan diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Ipoh didakwa atas tiga pertuduhan menipu pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500 tahun lalu. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Kedua-duanya didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang dibacakan bersama Seksyen 34 KK.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta disebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee, manakala tertuduh diwakili tiga peguam Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurnadiah Zaini.

Terdahulu, Aizul memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan kerana dua anak guamnya memberi kerjasama dengan baik dan akaun perniagaan kedua-duanya yang sudah dibekukan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan setiap tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mac ini bagi sebutan semula kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 1:05 PM