Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakannya dalam kejadian di Taman Silibin, dua minggu lalu.

Tertuduh, S Alphonsus, 40, mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, dalam mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan ke atasnya iaitu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

ALPHONSUS didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya dan mengambil dadah. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
ALPHONSUS didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya dan mengambil dadah. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Bagi pertuduhan membunuh, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian dengan membunuh R Ravindran, 35, menggunakan pisau di Jalan Persiaran Jelapang 18, Taman Silibin, di sini, antara 1 hingga 2 pagi pada 4 November lalu.

Sementara bagi pertuduhan berkaitan dadah, dia didakwa memasukkan dadah jenis Methamhetamine ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada 11 malam, 6 November lalu.

Bagi kesalahan Seksyen 15(1)(a) ADB, hukuman diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Manakala untuk Seksyen 38B(1) ADB, tertuduh dikehendaki menjalani perintah pengawasan tidak kurang dari dua tahun, hingga tiga tahun sejurus disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 ADB.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh diwakili peguam J K Kala.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 9 Februari tahun depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua pertuduhan ke atas tertuduh terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 12:13 PM