MUHAMAD Hidir dipercayai melarikan diri sebaik mangsa membuat laporan polis. FOTO ihsan polis
MUHAMAD Hidir dipercayai melarikan diri sebaik mangsa membuat laporan polis. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Polis mencari seorang lelaki yang memukul seorang pekerja stesen minyak di Taman Sri Cempedak, Kuala Klawang, di sini, pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, suspek Muhamad Hidir Malik, 39 dari Kampung Petasih Hulu dipercayai melarikan diri sebaik mangsa membuat laporan polis.

Katanya, dalam kejadian pada 4.30 petang itu suspek datang menaiki motosikal bagi mengisi minyak di stesen minyak berkenaan.

"Disebabkan tiada juruwang di kaunter, mangsa meminta suspek menunggu kerana hanya juruwang yang boleh mengaktifkan pam sebelum minyak diisi.

"Sebaik minyak boleh diisi, mangsa mengisi minyak motosikal suspek, namun berlaku sedikit tumpahan minyak sehingga suspek memarahi mangsa sebelum membaling duit isian minyak kepada mangsa.

"Mangsa yang mengeluh dengan tindakan suspek mengutip duit di atas lantai dan beredar dari pam untuk berehat, namun suspek kemudian datang dan memukul mangsa dengan topi keledar selain memarahi dan memaki hamun mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maslan berkata, terdapat kesan bengkak di dagu sebelah kiri mangsa yang turut ditampar pada bahagian muka oleh suspek.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai dua rekod lampau kes dadah dan satu jenayah dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amirul Farhan Azilan di talian 017-3494241.

Video kejadian itu tular di media sosial dan netizen mahu pelaku yang bertindak ganas itu segera ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 6:01 PM