Kemalangan di Kilometer 19 Jalan Seremban - Simpang Pertang yang mengakibat dua maut. FOTO IHSAN POLIS
Kemalangan di Kilometer 19 Jalan Seremban - Simpang Pertang yang mengakibat dua maut. FOTO IHSAN POLIS
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 19 Jalan Seremban - Simpang Pertang dekat sini, 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa maut, kanak-kanak berusia tiga tahun dari sebuah keluarga yang menaiki Perodua Viva, manakala seorang lagi yang meninggal dunia adalah penunggang motosikal Yamaha Legenda, berusia 48 tahun.

"Siasatan awal mendapati kereta dinaiki keluarga berkenaan dari arah Seremban ke Kuala Klawang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal.

"Akibat kemalangan itu, dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Maslan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat bagi tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 8:35 AM