ANGGOTA bomba dan penyelamat menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang maut selepas digilis traktor. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang maut selepas digilis traktor. FOTO ihsan Bomba
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pekerja warga Bangladesh maut digilis traktor di sebuah ladang pertanian di Kilometer 29, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, Md Nur Zamal, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa menaiki traktor yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun menuju ke tapak pertanian untuk menghantar racun tanaman.

"Ketika kenderaan itu menaiki cerun bukit, enjin traktor tiba-tiba mati dan menggelungsur ke belakang.

"Mangsa yang ketika itu berada di belakang pendakap (bracket) traktor cuba melompat keluar, namun tidak sempat mengelak sebelum digilis kenderaan itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Maslan berkata, pemandu traktor tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Jelebu Mohd Fazill Mohd Yunus berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada 9.30 pagi bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:48 PM