Tangkap layar kereta menggelongsor langgar gerai.
Tangkap layar kereta menggelongsor langgar gerai.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Polis tidak menolak ada unsur kecuaian daripada pemilik kereta yang kenderaannya menggelongsor di Bazar Ramadan Kuala Klawang di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk sama ada brek tangan kereta Proton Persona itu diturunkan oleh kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta berkenaan.

Katanya, banyak faktor boleh menyebabkan kereta itu menggelongsor sebelum ia melanggar gerai peniaga bazar dan menyebabkan seorang peniaga melecur 25 peratus akibat terkena minyak panas di dalam kuali selepas ia tertumpah.

"Peniaga berusia 40 tahun itu masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Dua kanak-kanak berusia dua dan enam tahun yang ditinggalkan di dalam kereta dengan enjin masih hidup itu tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Maslan berkata, kes disiasat mengikut Rule 14(1)(A) LN 166/59 (tidak mematikan enjin ketika meninggalkan kenderaan).

Media sebelum itu melaporkan, dalam kejadian pada hari pertama Ramadan itu, seorang peniaga melecur 25 peratus selepas minyak panas terkena pada bahagian belakang badan, peha dan betis kaki sebelah kiri, selepas dilanggar kereta yang menggelongsor ke gerai peniaga di bazar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 10:14 AM