Keadaan kereta yang dinaiki empat beranak selepas terbabas di Kilometer 14.5 MRR2, dekat Selayang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta yang dinaiki empat beranak selepas terbabas di Kilometer 14.5 MRR2, dekat Selayang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut, manakala ibu bapa dan abangnya cedera dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Selayang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, empat beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Rawang menghala ke Ampang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Nissan Almera dipandu lelaki berusia 42 tahun dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.

"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kiri dan terbalik di bahu jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandunya yang cedera di pinggang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Isterinya berusia 43 tahun dan anak lelaki berusia enam tahun cedera ringan.

"Seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 10.29 pagi.

Menurutnya, bomba menjalankan operasi menyelamatkan kesemua mangsa dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 5:12 PM