ANGGOTA bomba melakukan operasi menyelamat di lokasi kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan operasi menyelamat di lokasi kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Seorang wanita warga emas maut manakala anak perempuannya cedera ringan selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam di sini, hari ini.

Mangsa berusia 65 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish meninggal dunia di lokasi akibat tersepit dalam kenderaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pusat gerakan menerima panggilan pada 11.50 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori satu tan dan Toyota Wish.

"Terdapat seorang wanita tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan pada 12.30 tengah hari. Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Penumpang yang juga anak mangsa berusia 13 tahun dan pemandu lori berusia 40-an cedera ringan ," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:42 PM