Rawang: Seorang penumpang wanita maut, manakala sembilan lagi mangsa kebanyakannya kanak-kanak cedera sejurus dua kereta terbabit kemalangan di Kilometer 4, Jalan Rawang - Batu Arang, berhampiran susur keluar Plaza Tol Rawang menuju ke Country Homes di sini.

Dalam kejadian jam 7.53 pagi semalam, mangsa berusia 28 tahun menaiki kereta Proton Saga bersama lapan mangsa lain.

Difahamkan, penumpang kereta Proton Saga itu membabitkan dua wanita, dua remaja berusia 17 dan 14 tahun, tiga kanak-kanak dan seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga itu parah sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh bersama mangsa lain.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kereta Proton Saga berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Bakau menuju ke sebuah kilang di Taman Industri Integrasi Rawang, di sini.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan masuk ke laluan Proton Saga itu menyebabkan berlaku pertembungan.

“Mangsa yang berasal dari Bandar Tasik Puteri, Rawang disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala pemandu kedua-dua kenderaan parah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan kemalangan pada jam 7.11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 7:01 AM