PENDUDUK berbincang masalah serangan harimau belang terhadap lembu mereka di RKT Kesedar Chalil. FOTO Paya Linda Yahya
PENDUDUK berbincang masalah serangan harimau belang terhadap lembu mereka di RKT Kesedar Chalil. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Serangan harimau belang terhadap seekor lembu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil Jumaat lalu, membimbangkan lebih 1,500 penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa dalam kejadian itu, seekor lembu betina yang bunting diserang harimau dan ia adalah kejadian pertama berlaku di situ.

Ketua peneroka, Suhaimi Che Hamid, 53, berkata ia menimbulkan kebimbangan kepada penduduk untuk keluar bekerja di ladang kelapa sawit dan kebun getah.

Katanya, sebelum ini kejadian anak lembu hilang sudah kerap kali berlaku, namun tiada bangkai ditemui.

"Sebelum ini sudah hampir 20 ekor anak lembu yang hilang namun tidak menjumpai bangkai dan kami syak itu angkara harimau kumbang.

"Tetapi pada kali ini lembu betina bunting yang beratnya mencecah sehingga 90 kilogram (kg) ditemui mati dan di lokasi kejadian terdapat kesan tapak kaki harimau belang.

"Kami sudah melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan mereka sudah pun datang memantau lokasi kejadian berlaku," katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Chalil, di sini.

Menurut Suhaimi, ada penduduk yang terserempak dengan dua ekor harimau belang di tepi jalan ketika dalam berjalan keluar dari RKT Kesedar Chalil.

"Saya dimaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam. Ada yang terserempak dengan dua ekor harimau Belang di tepi jalan ketika ingin keluar dari kampung ini.

"Menurut apa yang diceritakan, seekor sedang duduk dan seekor lagi sedang mengejar lembu, namun terkejut bila ada kenderaan lalu.

"Jadi kami di sini pun rasa tidak selamat dengan kemunculan haiwan liar ini termasuk juga gajah liar berhampiran rumah penduduk yang muncul tahun lalu," katanya.

Bagi penternak, Arif Ismail, 50, berkata, dia dimaklumkan oleh pekerja ladang penemuan bangkai lembu itu pada Jumaat.

"Saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib supaya kami tidak terus menanggung kerugian selain untuk menjamin keselamatan penduduk di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 11:25 AM