ANTARA barang yang dirampas dalam Ops aktiviti parti liar dan penyalahgunaan dadah di sebuah apartment di Batu 8, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barang yang dirampas dalam Ops aktiviti parti liar dan penyalahgunaan dadah di sebuah apartment di Batu 8, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seramai 10 remaja termasuk empat perempuan ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 dengan mengadakan parti di sebuah apartmen di Batu 8, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, remaja berusia berusia 15 tahun hingga 17 tahun itu ditahan dalam operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, susulan maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah bilik di apartmen itu dan menahan enam remaja lelaki dan empat remaja wanita.

"Pemeriksaan lanjut menemukan cecair dan alat menghisap vape bagaimanapun pemeriksaan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau

"Semua remaja terbabit dari Kajang, Bangi dan Sepang," katanya.

Aidi Sham berkata, kesemua suspek dikompaun setiap seorang kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka tidak mengamalkan normal baharu dengan berkumpul dalam majlis keramaian yang sukar untuk mengawal keperilakuan dan mungkin menjadi kontak rapat kerana berada dalam tempat sama untuk jangkamasa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 2:25 PM