AIDI Sham (tengah) menunjukkan perlombongan bitcoin secara haram di tiga lokasi sekitar Lukut, Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
AIDI Sham (tengah) menunjukkan perlombongan bitcoin secara haram di tiga lokasi sekitar Lukut, Port Dickson. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis menyerbu tiga premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perlombongan mata wang bitcoin secara haram, di sekitar Lukut dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 6 petang itu, polis merampas 150 unit mesin melombong bitcoin dianggarkan bernilai RM600,000.

Turut ditahan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun yang juga positif dadah jenis methamphetamine (syabu), serta mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Dalam serbuan pertama di Bandar Dataran Segar, Lukut, polis merampas 70 unit mesin melombong Bitcoin di sebuah premis tiga tingkat.

"Selain itu, 80 lagi mesin dirampas dalam dua lagi serbuan di sekitar Lukut Prima," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, Pasukan SEAL TNB turut memotong bekalan elektrik di ketiga-tiga premis ini kerana disyaki melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk menjalankan operasi perlombongan berkenaan.

Menurutnya, kegiatan di tiga premis itu menyebabkan TNB menanggung kerugian kira-kira RM40,000 sebulan.

"Kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu," katanya.

Aidi Sham berkata, kedua-dua suspek yang ditahan direman hingga 8 Jun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, mereka turut dikompaun kerana merentas daerah tanpa alasan yang munasabah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram.

"Mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, suspek boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Letrik 1990, suspek boleh didenda tidak lebih 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 1:56 PM