GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


PENGANGGUR berusia 45 tahun yang dipercayai mabuk ditahan di Kilometer 5.5, Jalan Pantai, ketika Ops Mabuk, Port Dickson, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan lelaki itu pada 10.40 malam ketika selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek dari Taman PD Utama, Port Dickson diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, namun polis tidak menemui sebarang kesalahan pada peringkat awal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, lelaki yang memandu Proton Iswara itu kemudian diarahkan menjalani ujian saringan pernafasan bagi mengesan alkohol dalam darah.

"Hasil ujian saringan menggunakan alat 'Lion Alcolmeter EBA-11' menunjukkan bacaan alkohol dalam darahnya adalah 219 miligram melebihi had ditetapkan (80 mg alkohol/100 ml darah).

"Pemandu itu ditahan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Aidi Sham berkata, lelaki itu direman empat hari mulai hari ini sehingga 7 Jun di Mahkamah Majistret Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 10:41 AM