Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pusat bersetuju menghapus kira pinjaman kerajaan Pahang selepas Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang membabitkan jumlah keseluruhan RM2.1 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hapus kira itu membabitkan pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion dan novasi pinjaman kerajaan Pahang kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM1.1 bilion.

Katanya, dengan hapus kira pinjaman itu, ia akan membantu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menuju ke arah penawaran perkhidmatan yang lebih efektif kepada pengguna.

"Antaranya semua pinjaman bekalan air Kerajaan Pahang akan diambil alih oleh PAAB dan pembayaran akan distruktur semula untuk tempoh 45 tahun melalui bayaran sewa pajakan yang akan dikenakan kepada PAIP.

"PAIP akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun bagi membantu PAIP membina asas kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa pajakan kepada PAAB.

"PAAB akan membangunkan aset-aset air di Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak dengan kadar yang kompetitif berbanding pembiayaan komersial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Mengulas jumlah negeri yang sudah menyempurnakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air, Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini, sebanyak lapan negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Pahang.

"Kedah dan perlu menandatangani perjanjian penstrukturan itu yang dijangka diadakan Januari depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 8:46 PM