Ruwaida Md Zain


Subang: Pasukan barisan hadapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan lebih 100 misi bantuan logistik penghantaran udara dalam membantu kerajaan memerangi Covid-19.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar 240 tan barangan perubatan dan kesihatan bagi kegunaan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak.

"Misi dilaksanakan menggunakan pesawat A400M, C-130H, CN 235 dan helikopter EC-725 AP membabitkan 800 jam penerbangan dengan kos RM39 juta.

"Semua penerbangan ini adalah penerbangan khusus untuk menghantar barangan keperluan KKM, kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Covid-19 ke Sabah Sarawak yang menggunakan peruntukan TUDM.

"Selain itu, TUDM juga terbabit bersama ATM di bawah naungan National Task Force (NTF) untuk Op Benteng dan juga Op Penawar membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk sekatan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 dan Penganugerahan Sayap Penerbangan Jurusensor Senjata dan Kuarter Master Udara di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pegawai-pegawai tinggi TUDM.

Ackbal berkata, selain menghantar bantuan bekalan makanan asas ke kawasan pedalaman di Sarawak, TUDM turut menghantar peralatan perubatan dan pesakit yang memerlukan rawatan.

"TUDM juga melakukan penghantaran peralatan bagi pengoperasian Hospital Medan ATM di Tawau dan petugas kesihatan di Sabah serta membawa pesakit dari Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan rawatan perubatan dengan segera di hospital di Semenanjung melalui misi Medevac," katanya.

Namun demikian katanya, TUDM komited meneruskan tugas utama dalam usaha memperkukuhkan kawalan persempadanan Malaysia melalui pengawasan udara maritim dan meningkatkan pengawasan udara di kedua-dua wilayah udara.

Mengulas mengenai penamatan perkhidmatan helikopter Nuri katanya, pesawat itu masih mempunyai status 'airworthiness' pada masa ditamatkan pengoperasian.

"Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pengoperasian helikopter Nuri atas faktor usia (melebihi 52 tahun) dan dibelenggu oleh faktor keusangan kerana kebanyakan komponen dan alat ganti sudah tidak lagi dikeluarkan oleh pengilang atau OEM.

"Kebanyakan komponen yang dihantar untuk pembaikan kepada pihak OEM dipulangkan semula atas dasar Beyond Economic Repair (BER) malah kos penyelenggaraan Nuri yang semakin tinggi menyulitkan TUDM untuk teruskan pengoperasian.

"Faktor usia dan cabaran dari aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pengoperasian pesawat semakin tinggi dan 'downtime' pesawat semakin panjang apabila berlaku kerosakan," katanya.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad hadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2020 di Dewan Ababil, Pengkalan Udara Subang. FOTO FAIZ ANUAR
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad hadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2020 di Dewan Ababil, Pengkalan Udara Subang. FOTO FAIZ ANUAR

Sementara itu katanya, TUDM kini sedang menuju ke arah merealisasikan pelan strategiknya iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Plan 2055 (CAP55) yang akan menggantikan pelan transformasi Air Force Next Generation (AFNG).

"CAP 55 Fasa 1 bermula pada 2021 memfokuskan kepada Penstrukturan Keupayaan dan Penjajaran Organisasi. CAP 55 akan merealisasikan aspirasi TUDM sebagai angkatan udara yang kredibel dan berspektrum penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 4:00 PM