Panji-panji Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika perbarisan mara mengadap sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 di Pangkalan Udara Subang hari ini. FOTO BERNAMA
Panji-panji Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika perbarisan mara mengadap sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 di Pangkalan Udara Subang hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima penghormatan diraja termasuk lintas hormat lima helikopter pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-64 di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Lima helikopter itu membabitkan tiga helikopter EC 725 AP yang membawa bendera Malaysia, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bendera TUDM, manakala dua lagi adalah helikopter AW 139.

Baginda turut berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat.

Tema sambutan hari ulang tahun 'Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara' dipilih bagi menterjemahkan peranan utama TUDM sebagai kuasa udara.

Ia selaras dengan peranan penting TUDM sebagai tunjang utama pertahanan dalam melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

Konsep perbarisan pada kali ini juga berbeza berbanding tahun sebelumnya yang dilaksanakan secara Perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat.

Komposisi perbarisan terdiri daripada 23 pegawai dan 420 anggota lain-lain pangkat diketuai Leftenan Kolonel Hassan Basri Tajul Arifin.

Perbarisan kali ini turut disertai dengan lintas hormat pesawat-pesawat TUDM terdiri daripada pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet; pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII.

Buat pertama kali bersama helikopter EC 725 AP, helikopter AW 139 turut membuat lintas hormat.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 1:45 PM