JUHAILI menunjukkan Anugerah Terbang Selamat yang diterima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2020 di Dewan Ababil, Pengkalan Udara Subang. FOTO FAIZ ANUAR
JUHAILI menunjukkan Anugerah Terbang Selamat yang diterima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2020 di Dewan Ababil, Pengkalan Udara Subang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


SUBANG: Kejayaan mengendalikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 2,000 jam penerbangan tanpa sebarang kemalangan berpunca kesilapan sendiri bukan suatu perkara mudah.

Bagi Juruterbang Pengangkut, Mejar Juhaili Hanim Md Salleh, 42, yang memenangi Anugerah Terbang Selamat sempena Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 , membawa pesawat pengangkut adalah satu tanggungjawab yang besar yang perlu dilakukan sebaik mungkin.

"Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai juruterbang pengangkut, syarat utama mesti mencapai 2,000 jam, tanpa sebarang insiden atau kemalangan.

"Saya seharusnya berterima kasih kepada TUDM atas anugerah ini kerana sebenarnya sukar untuk capai jumlah jam yang ditetapkan kerana ia sesuatu yang mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 dan Penganugerahan Sayap Penerbangan Jurusensor Senjata dan Kuarter Master Udara yang disempurnakan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Sementara itu, 10 Skuadron yang diketuai Leftenan Kolonel Muhammad Fazri M Zin dipilih penerima Anugerah Squadron Of The Year.

Menurutnya, kejayaan kali ketiga itu amat bermakna bagi pasukan itu yang pernah memenangi anugerah sama pada 2014 dan 2015.

"Bagi mengekalkan kejayaan itu, 10 Skuadron menunjukkan kecemerlangan dalam melakukan tugas operasi dan latihan penerbangan sebaik mungkin.

"Anggota juga menunjukkan kecemerlangan dalam tugasan dan tanggungjawab pembaikan pesawat serta pembaikan pesawat untuk mencapai tahap sepatutnya untuk kesediaan dalam TUDM," katanya.

Sementara itu, Ackbal berkata Penganugerahan Sayap Penerbangan Jurusensor Senjata (JSS) dan Kuartermaster Udara (KU) dilaksanakan serentak dengan Anugerah Kecemerlangan TUDM berikutan penangguhan beberapa siri kursus berikutan cabaran pandemik Covid-19.

"Pengiktirafan kecemerlangan warga TUDM di dalam semua aspek dizahirkan melalui lapan anugerah iaitu Penyampaian Sijil dan Lencana Jurulatih TUDM, Penganugerahan Sayap Penerbangan JSS dan KU, Anugerah Kecemerlangan Sukan, Airman of the Year, Anugerah Terbang Selamat, Best Quarters of the Year, Training Institute of the Year dan Squadron of the Year.

"Buat pertama kali, Lencana Jurulatih TUDM diperkenalkan dan dianugerahkan sebagai pengiktirafan kepakaran kepada jurulatih TUDM yang memenuhi kriteria ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, penganugerahan Sayap Penerbangan JSS dan KU pula menyaksikan kejayaan seorang pegawai dan 19 anggota lain pangkat (LLP) termasuk enam anggota LLP dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Mereka berjaya menjalani kursus yang melahirkan barisan pelapis JSS pesawat pejuang dan KU pesawat sayap putar dan sayap kaku bagi menjamin kelestarian pengoperasian pesawat TUDM dan pesawat ATM yang lain di masa hadapan," katanya.

#kw juruterbang, TUDM, anugerah, cemerlang, Panglima TUDM, Subang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:30 PM