TANGKAP layar video yang dirakam Jamal Md Yunos berhubung kegiatan pengutipan anak kerang semulajadi oleh individu tidak bertanggungjawab di Kampung Sungai Leman. FOTO IHSAN FB DATUK SERI JAMAL MD YUNOS
TANGKAP layar video yang dirakam Jamal Md Yunos berhubung kegiatan pengutipan anak kerang semulajadi oleh individu tidak bertanggungjawab di Kampung Sungai Leman. FOTO IHSAN FB DATUK SERI JAMAL MD YUNOS
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: "Orang ramai atau nelayan diingatkan supaya tidak mengutip anak kerang semulajadi sehingga lesen mengutip benih kerang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam," ujar Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Abdul Rahman Abdul Wahab.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan pengutipan anak kerang semulajadi tanpa kebenaran di Sungai Leman, Sekinchan dan Sungai Nipah di sini.

Abdul Rahman berkata, pihaknya akan meminta kerjasama daripada agensi penguat kuasa seperti Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membanteras kegiatan itu.

"Pemantauan kami mendapati anak kerang yang naik secara semulajadi berukuran kurang daripada 4 millimeter (saiz garam halus) dan tidak dibenarkan untuk mengutipnya.

"Syarat membuka lesen mengutip benih kerang ialah selepas persampelan dijalankan di kawasan kenaikan benih oleh kami apabila kerang mencapai saiz (4-25 millimeter) dengan jumlah 500 biji ke atas bagi setiap lokasi (persampelan) di kawasan yang dilaporkan berlaku kewujudan benih kerang," katanya tadi.

Ujar beliau, pihaknya juga akan memantau perkara itu dengan lebih serius bagi memastikan benih kerang semulajadi dikutip secara wajar, mampan dan untuk manfaat penternak setempat.

"Mengikut senario sebelum ini iaitu dari 2008 hingga tahun lalu, kenaikan benih kerang di Sungai Leman adalah dalam kuantiti amat sedikit dan pihak kami tidak dapat membuka lesen.

"Namun tahun ini menyaksikan benih naik dalam kuantiti yang banyak dan didapati harga pasaran satu tin anak kerang (18 kilogram) bernilai lingkungan antara RM 700 hingga RM 1,000," katanya.

Sehubungan itu, individu yang didapati mengambil benih kerang terbabit akan disiasat mengikut Peraturan 3, Larangan Mengambil Anak-anak Kerang di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang) 2002.

Dalam pada itu, tular di media sosial hari ini video dirakam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kegiatan pengutipan anak kerang semulajadi oleh individu tidak bertanggungjawab.

Rakaman berdurasi 32 saat itu menunjukkan beberapa individu menaiki bot sambil mengutip anak kerang di Kampung Sungai Leman, Sekinchan.

Dakwanya, anak kerang itu dipercayai dijual ke Thailand.

"Sedih saya melihat keadaan ini. Hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu.

"Macam mana nelayan kampung nak cari makan? Kegiatan haram mengambil anak kerang oleh orang luar di kampung saya.

"Kita nak makan kerang, harga terlalu mahal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:44 PM